Pages

Sabtu, 20 Disember 2014

Kalau anda wanita,Apa mas kahwin yang anda minta?

Assalamualaikum..

Kembali lagi kepada entry saya,so nak kongsikan sedikit tentang mas kahwin pulakkkkk..hehehe,sebab kan kekadang ada setengah orang mungkin tak tahu apa itu mas kahwin dan apa itu mahar dan sebagainya..segala maklumat ini yang saya dapat jugak dari sumber2 yang boleh di percyai..


Okay,berbalik pada cerita saya,mari anda sume mengikuti kisah ini di bawah..




KONSEP MAHAR DALAM ISLAM



 Mahar adalah harta atau manfaat yang wajib ditunaikan oleh seorang lelaki kepada perempuan yang hendak dikahwininya.

 Ini berasaskan kepada firman Allah yang bermaksud: "Berilah mas kahwin (mahar) kepada wanita yang kamu nikahi sebagai pemberian dengan penuh kerelaan." - (An-Nisa: 4). 


Rasulullah pernah meminta seorang sahabat yang ingin berkahwin supaya membayar mahar walaupun dengan sebentuk cincin besi dan tidak pernah berlaku dalam sebarang perkahwinan itu berlangsung tanpa membayar mahar, sama ada oleh Rasulullah atau sahabat. 


Berasaskan ayat al-Quran dan hadis dan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah inilah maka kalangan ulama atau fuqaha sudah ijmak bahawa mahar adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami sebagai hak perempuan yang wajib ditunaikannya.

 Mengenai kadar mahar, sebenarnya tidak ada kadar tertentu tetapi yang penting ia mestilah daripada sesuatu yang mempunyai nilai (kewangan) atau ada manfaatnya.


Pernah berlaku pada zaman Rasulullah, seorang yang tidak mempunyai kewangan dan kemampuan tetapi apabila hendak berkahwin, Rasulullah bertanya: "Adakah engkau tahu membaca al-Quran?"

Orang itu mengaku bahawa dia tahu membaca surah tertentu di dalam al-Quran lalu Rasulullah berkata: "Ajarkan surah-surah itu kepada isterimu sebagai mahar." 


Dalam konteks ini, bacaan surah daripada al-Quran itu, tidak merupakan barangan tetapi ia tetap menjadi manfaat yang boleh dikecapi oleh isterinya itu.



 KADAR MAKSIMUM MAHAR

 Mengenai persoalan kadar maksimum sesuatu mahar, Islam tidak menetapkannya kerana ia adalah hak wanita.

 Dalam hal ini, terpulanglah kepada mereka untuk menetapkan sebanyak mana yang dikehendaki. Bagaimanapun Rasulullah menggalakkan umat Islam supaya memberikan mahar yang sedikit, mudah dan sederhana.

 Rasulullah bersabda, bermaksud: "Wanita yang paling berkat ialah yang paling murah maharnya dan mudah urusan perkahwinannya." 

Pada hadis ini jelas Rasulullah menggalakkan umat Islam supaya tidak mengenakan mahar yang terlalu tinggi dan di sinilah duduknya keberkatan rumah tangga. Sejarah Islam meriwayatkan, pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah, beliau melihat umat Islam mula meninggikan mahar dan ini menyebabkan ramai pemuda yang ingin berkahwin sukar melaksanakan hajat mereka kerana terpaksa mencari wang yang begitu banyak.

 Melihatkan keadaan itu, Umar pun membuat teguran dan menyatakan hasratnya untuk melarang umat Islam supaya tidak meninggikan mahar tetapi pandangannya itu dipertikaikan oleh seorang wanita yang menyatakan: "Itu hak kami." Wanita itu juga membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: "Sekalipun kamu memberikan mahar seberat satu tan barangan pun, itu adalah hak wanita berkenaan dan kamu tidak boleh mengambilnya semula."

 Mendengar hujah wanita itu, akhirnya Umar membatalkan hasratnya untuk mewujudkan peraturan atau undang-undang bagi menetapkan kadar mahar yang tertentu itu. Bagaimanapun, mengikut beberapa hadis yang disebutkan itu, jelas kepada kita bahawa Rasulullah tidak begitu gemar kepada tindakan meletakkan mahar yang terlalu tinggi.

 Merujuk kepada apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang, sebenarnya masalah mahar yang tinggi itu tidak timbul kerana kebiasaannya ia sudah pun ditetapkan oleh majlis agama Islam negeri masing-masing. Kebanyakannya meletakkan satu kadar (nilai) yang seragam.

 Apa yang menjadi persoalan kepada kita ialah mengenai hantaran belanja perkahwinan (selain daripada mahar itu). Keduanya, selain hantaran belanja (wang), pihak lelaki diperlukan juga membawa pelbagai hantaran lain, termasuk benda, pakaian, makanan dan seumpamanya, sama ada pada masa bertunang atau perkahwinan itu sendiri. 

Justeru, saya berpendapat, masyarakat Islam tidak sepatutnya meninggikan hantaran belanja ini hingga kadangkala mencecah antara RM8,000 dan RM12,000 umpamanya. Sebenarnya, bagi saya hal ini tidaklah begitu tepat dengan ajaran Islam dan kehendak Rasulullah kerana ini boleh membebankan urusan perkahwinan, malah ia mungkin menyusahkan.

 Apatah lagi, hantaran yang berupa persalinan, bahan makanan yang kadang-kadang sampai berpuluh-puluh bekas, misalnya pulut kuning sampai tiga empat bekas, kek saja tiga empat bekas dan seumpamanya yang akhirnya semua benda itu rosak begitu saja tanpa disentuh sesiapa.


 Hal ini juga kemudiannya berlarutan sehingga menjadikan kita terjebak dalam pembaziran sedangkan ia satu yang sangat ditegah oleh Islam seperti disebut dalam al-Quran orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Justeru, eloklah masyarakat Islam berhati-hati dalam perkara ini. Kalau kita inginkan sebuah rumah tangga yang bahagia dan mendapat keberkatan, janganlah kita terlalu meninggikan hantaran belanja perkahwinan. Begitu juga dengan persalinan dan bahan makanan itu, biarlah ia setakat yang berpatutan sahaja.

Sampai sini saja entry saya..


semoga anda semua suka dengan entry saya kali ini..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan